Monday, June 13, 2016

Musykil paip air kerap pecah



Musykil paip air kerap pecah
12 Jun 2016


SEREMBAN – Bukan sekali, sebaliknya kejadian paip pecah di Taman Alamanda, di sini, berlaku sekurang-kurangnya empat kali dalam tempoh empat bulan.

Setiausaha Surau Taman Alamanda, Zulkefle Husaian, 51, mendakwa, masalah itu berlaku sejak beberapa tahun lalu dan menimbulkan persoalan kepada penduduk kerana terlalu kerap berlaku.

"Kita berterima kasih kepada pihak Sains (Syarikat Air Negeri Sembilan) kerana setiap kali aduan dibuat, mereka segera membaik pulih kerosakan berlaku dalam masa sehari.

"Cuma kita musykil kenapa terlalu kerap paip pecah dan berlaku di beberapa tempat pula, adakah kerana paip itu sudah lama atau ada masalah lain," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan masalah kepada penduduk kerana setiap kali kerja-kerja pembaikan dilakukan, masalah air akan berlaku antara lima atau enam jam.

"Taman perumahan ini sudah 17 tahun, mungkin ada masalah paip dalam tanah yang memerlukan pemeriksaan sepenuhnya, tapi hanya Sains sahaja dapat menjelaskannya.

"Kami tak menyalahkan Sains, tapi sekadar mahukan penjelasan mengenai masalah ini yang menimbulkan tanda tanya penduduk," katanya.

Sementara itu, Sains ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu akan mengenal pasti masalah yang berlaku.

No comments:

Post a Comment