Musykil paip air kerap pecah
12 Jun 2016
SEREMBAN – Bukan sekali, sebaliknya kejadian paip pecah di
Taman Alamanda, di sini, berlaku sekurang-kurangnya empat kali dalam tempoh
empat bulan.
Setiausaha Surau Taman Alamanda, Zulkefle Husaian, 51,
mendakwa, masalah itu berlaku sejak beberapa tahun lalu dan menimbulkan
persoalan kepada penduduk kerana terlalu kerap berlaku.
"Kita berterima kasih kepada pihak Sains (Syarikat Air
Negeri Sembilan) kerana setiap kali aduan dibuat, mereka segera membaik pulih
kerosakan berlaku dalam masa sehari.
"Cuma kita musykil kenapa terlalu kerap paip pecah dan
berlaku di beberapa tempat pula, adakah kerana paip itu sudah lama atau ada
masalah lain," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan masalah kepada penduduk
kerana setiap kali kerja-kerja pembaikan dilakukan, masalah air akan berlaku
antara lima atau enam jam.
"Taman perumahan ini sudah 17 tahun, mungkin ada
masalah paip dalam tanah yang memerlukan pemeriksaan sepenuhnya, tapi hanya
Sains sahaja dapat menjelaskannya.
"Kami tak menyalahkan Sains, tapi sekadar mahukan
penjelasan mengenai masalah ini yang menimbulkan tanda tanya penduduk,"
katanya.
Sementara itu, Sains ketika dihubungi Sinar Harian
memberitahu akan mengenal pasti masalah yang berlaku.